Topik 2 : Pengurusan Dan Pembelajaran Pelajar

NORSYAHFINA AZLINA BINTI SAHARUDDIN
D20172080645


Rumusan
 Topik 2 : Pengurusan Dan Pembelajaran Pelajar

Topik pengurusan dan pembelajaran pelajar ini membincangkan bagaimana seseorang guru menguruskan pembelajaran murid. Oleh itu,guru perlu memainkan peranan utama dalam aspek pengurusan bilik darjah bagi melahirkan insan yang cemerlang Pengurusan bilik darjah yang baik dan sistematik dapat meningkatkan keupayaan murid untuk belajar dan dapat menyelesaikan banyak masalah disiplin di sekolah.Masalah-masalah disiplin yang timbul ini berpunca daripada gaya pengajaran guru yang membosankan atau kurang kreatif dalam teknik pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Oleh itu, setiap guru perlulah mempelbagaikan kemahiran pengajaran dalam menjalankan tugas harian mereka di sekolah.Mereka perlu menjadi pakar dalam subjek yang diajar dan kemahiran mengawal tingkahlaku pelajar yang disruptif di bilik darjah agar proses pengajaran dan pembelajaran berlaku di bilik darjah.
Pengurusan bilik darjah merupakan faktor penting dalam mempengaruhi motivasi,tahap penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta tingkah laku dan sikap murid di dalam bilik darjah.Sebuah bilik darjah yang dinamik boleh ditakrifkan sebagai bilik darjah yang bertenaga dan mampu menggerakkan organisasi untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran secara formal dengan penuh minat,memberangsangkan,aktif dan mencapai objektif.Pengurusan pula ialah melibatkan penggubalan dan perancangan,melaksanakan perancangan dan bekerjasama dengan berkesan untuk melakukan perkara yang betul sehingga mencapai matlamat.(PPK,2001). Oleh itu,pengurusan bilik darjah yang dinamik merupakan satu proses perancangan P&P yang aktif,memberangsangkan,menyeronokkan dan menarik minat pelajar untuk belajar hingga mencapai matlamat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran  Malaysia.

 PERANAN GURU SEBAGAI PENGURUSAN BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah merupakan aspek penting dalam melaksanakan sesuatu pengajaran.Seorang guru perlu mengetahui cara menyusun tempat duduk pelajar dan peralatan yang ada dalam bilik darjah,mengurus pergerakan pelajar dalam bilik darjah dan mengawalnya supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.Oleh hal yang demikian,terdapat beberapa peranan yang perlu dimainkan oleh guru sebagai pengurus bilik darjah iaitu merancang,mengelola,mengarah dan mengawal. Pengurusan pengajaran dan pembelajaran dapat memberi panduan perkara yang perlu dilakukan oleh guru, memimpin dan memberi inspirasi kepada guru dan mengawal pelaksanaan agar berjalan seperti yang dirancang (Nurlia Mohamad,komunikasi peribadi,2012).

1.  Guru Sebagai Perancang
Sebelum memasuki bilik darjah,sebagai seorang guru yang aktif perlulah menyediakan persiapan mengajar supaya pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.Perancangan pembelajaran yang dibuat perlu menimbangkan tentang objektif pelajaran,isi pengajaran,bahan-bahan pengajaran dan pengurusan kemudahan.Kemahiran merancang merupakan prasyarat untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.Objektif pelajaran haruslah ditentukan semasa membuat perancangan pengajaran dan haruslah berdasarkan kepada sasaran sukatan pelajaran,pengetahuan sedia ada murid dan kebolehan mereka.
Pemilihan strategi dan kaedah mengajar pula berkait rapat dengan pencapaian objektif pelajaran.Strategi dan kaedah pengajaran yang sesuai membolehkan guru merancang isi pelajaran secara sistematik dan menarik,memastikan murid mecapai objektif yang dikehendaki. Pemilihan bahan pengajaran seperti bahan bantu mengajar dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan lebih berkesan.Contoh aktiviti yang boleh dilakukan ialah melibatkan pelajar dengan forum sesama rakan dan mengadakan kuiz. Melalui cara ini, guru bukan sahaja dapat mengesan kelemahan dan kekuatan pelajar, malah dapat meningkatkan daya kefahaman murid tentang apa yang dipelajari.
Kerja merancang pengajaran pula meliputi pengurusan kemudahan. Nordin Tahir (IPIP,2014) menggariskan beberapa ciri kemahiran merancang seperti berikut:
i) Pengajaran efektif mempunyai objektif pelajaran eksplisit berdasarkan sukatan pelajaran serta kebolehan murid
ii) Isi pelajaran dalam rancangan mengajar disusun dari mudah ke kompleks,bermakna,releven dan menarik
iii) Rancangan mengajar harus memasukkan penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM)
iv) Utamakan pendekatan berpusatkan murid
v) Rancangan mengajar harus disusun mengikut langkah yang lengkap

2.  Mengelola Dalam Bilik Darjah
Seorang guru harus mengelola segalanya di dalam kelas seperti mengurus bilik darjah.Ia merangkumi pelbagai aspek seperti menyedia,mentafsir, dan menyimpan rekod pelajar. Guru harus mempunyai rekod kesihatan,keputusan dan sebagainya dan pada masa ini disimpan dalam bentuk e-rekod iaitu dalam sistem internet. Guru juga perlu mengambil kira kedatangan kelas dan memastikan pelajar yang tidak hadir memberikan sebab mengapa tidak hadir pada hari tersebut.Guru juga perlu menyimpan rekod peribadi murid iaitu kad001 dan kad kad002 di mana kad ini merangkumi segala maklumat peribadi murid dan juga guru perlu menyimpan rekod yuran sekolah dan yuran harian. Guru juga harus memastikan disiplin kelas sentiasa dalam keadaan terkawal.Guru juga memastikan pelajar tidak membawa barangan larangan seperti rokok dan telefon bimbit ke sekolah. Guru juga perlu memastikan kemudahan kelas seperti kerusi,meja dan papan putih dalam keadaan lengkap di dalam kelas.

3.  Mengawal Bilik Darjah
Guru berperanan dalam mengawal bilik darjah dan mengawal peraturan bilik darjah.Contohnya guru mengawal pergaulan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan di dalam kelas agar tiada sebarang perkara tidak bermoral berlaku di dalam kelas.Guru juga harus mengawal masalah peribadi yang dialami oleh pelajar mereka.Guru perlu memastikan pelajar tidak membawa masalah peribadi ke sekolah.Guru juga harus memastikan tiada masalah disiplin berlaku di dalam kelas terutamanya dalam kalangan pelajar lelaki seperti masalah pergaduhan dan masalah buli dan kes mencabul di dalam kelas.

4.  Mengarah Dalam Biilik Darjah
Guru harus mengarah pelajar untuk menjawab soalan selepas proses pembelajaran berlaku untuk memastikan pelajar faham apa yang dipelajari.Namun, guru tidak boleh marah atau memaki hamum pelajar yang tidak dapat menjawab soalan yang ditanya.Guru juga harus mengarah murid untuk membentuk kumpulan untuk membuat aktiviti kumpulan contohnya melalui “round table” iaitu salah satu cara aktiviti yang berkesan. Guru juga mengarah murid menguruskan tugasan harian dan segala tugasan harian mengikut jadual bertugas.Guru harus memastikan setiap tugas yang diberikan diikuti oleh setiap pelajar dan memastikan setiap pelajar bertanggungjawab terhadap tugasan masing-masing.
Kesimpulannya,untuk pengurusan pengajaran dan pembelajaran ini,ianya melibatkan proses seperti merancang,melaksana,menilai dan membuat tindakan susulan termasuk penambahbaikan terhadap pengajaran dan pembelajaran agar dapat memperbaiki segala kelemahan seterusnya dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dari semua aspek Seterusnya, ciri-ciri seorang pengurus pengajaran dan pembelajaran yang berkesan termasuklah prihatin dan peka terhadap situasi sekeliling selain sistematik dalam merancang dan menilai dan juga sabar dalam menghadapi karenah murid pelbagai latar belakang. Selain itu, guru harus mengurus masa dengan baik dan mempunyai kemahiran abad ke 21. Oleh hal yang demikian, pengurusan dalam pembelajaran penting sebelum memulakan sesuatu pembelajaran agar hasilnya lebih efektif dan menarik selain dapat melahirkan pelajar dan masyarakat yang cemerlang dan mampu membangunkan dunia.


Rujukan
Bab 1 Pendahuluan.Diperolehi pada 14,2015 daripada
Nurlia Mohamad.Penyelia Pengajaran dan pembelajaran di Sekolah-Sekolah Kebangsaan Di Daerah Kota Tinggi, Johor.
Lembaga Penilaian Kompetensi Kementerian Pelajaran Malaysia

Strategi, Kaedah,Pendekatan dan Teknik Pengajaran

Pengurusan Bilik Darjah_Pendahuluan

Comments

Popular posts from this blog

Topik 14: Pembelajaran Abad Ke-21

Topik 8 : Pengurusan Tingkahlaku dan Disiplin