Topik 4 : Pengurusan Murid



MUHAMAD SUHAIMI BIN NORDIN
D20172080306


Rumusan 
Topik 4 : Pengurusan Murid

Pengurusan murid merupakan proses-proses yang berkaitan dengan perancangan kerja atau program bagi murid, pengelolaan murid dan program secara berkesan, pengawalan dan penilaian prestasi murid dan program serta pemilihan cara atau kaedah yang berkesan dalam pengurusan organisasi. Pengurusan murid merangkumi aspek yang luas misalnya aspek displin, kejayaan akademik serta sahsiah murid. Pihak pentadbiran sekolah perlu melakukan perancangan terlebih dahulu agar pengurusan murid menjadi lebih teratur dalam menguruskan perkara-perkara lain seperti menguruskan rekod murid, kesediaan murid belajar dan juga memotivasikan pelajar. Semua pihak yang terlibat di sekolah perlu bekerjasama sebagai sebuah organisasi dan antara pihak yang terlibat di dalam organisasi tersebut bagi memastikan proses pengurusan murid berjaya.
Mengurus rekod murid boleh didefinisikan sebagai bidang pengurusan yang bertanggungjawab untuk menjaga, bersistematik mengawal penciptaan, penerimaan, penggunaan dan ciri rekod termasuklah proses menjaga dan memelihara bukti dan maklumat murid ke dalam bentuk rekod. Terdapat dua jenis pengurusan sistem rekod murid iaitu secara dalam talian dan bertulis (manual). Antara jenis rekod pengurusan murid yang digunakan secara dalam talian adalah Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJSK) dan lain-lain lagi manakala antara jenis rekod yang digunakan secara manual adalah Rekod Kedatangan Pelajar, Rekod Cegah Ponteng Kelas, Rekod Kehadiran Kokurikulum dan lain-lain lagi.
Menurut Emma Subpei Shafie (2014), mengambil pandangan Burner (1966) bahawa kesediaan belajar adalah “apa-apa jua perkara yang disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada bila-bila masa peringkat perkembangannya”. Terdapat tiga jenis kesediaan belajar iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor. Kesediaan kognitif adalah kesediaan mental untuk melakukan sesuatu aktiviti seperti berfikir, menaakul, menganalisis, mensintesis dalam bentuk konsep dan menilai dalam menyelesaikan masalah. Pencapaian ilmiahnya adalah sepadan dengan usaha dan latihan yang diperlukan. Kesediaan afektif adalah sikap kesedaran, keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat seseorang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Selalunya kesediaan afektif dikaitkan dengan motivasi intrinsik (motivasi dalaman yang wujud apabila seseorang berasa keperluan asasnya dan keinginannya dipenuhi). Jika motivasi intrinsik pelajar tinggi, maka kesediaan afektifnya tinggi serta kesannya pelajar akan dapat manfaat yang banyak hasil daripada pembelajarannya dan juga jika berlaku sebaliknya. Menurut Emma Subpei Shafie (2014), Stanford (1971) ada mengatakan bahawa pembelajaran dipengaruhi oleh sikap pelajar dan bukan kerja keras seorang pelajar mengulang kaji bahan pembelajarannya. Kesediaan psikomotor pula merujuk kepada seseorang yang mempunyai potensi dan kematangan fizikal yang melibatkan otot, tulang anggota dan pengawalan serta penyelarasan pergerakan badan. Kesediaan psikomotor yang tinggi apabila tubuh badan mencapai kematangan selaras dengan latihan fizikal yang diperlukan serta dapat menentukan koordinasi pergerakan otot yang sempurna dan dapat memenuhi keperluan asas manusia.
Selain itu, terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar iaitu kematangan; kemahiran asas dan pengalaman sedia ada; motivasi dalaman serta perhatian. Kematangan bermaksud perubahan yang berlaku hasil daripada perubahan fizikal dan biologi dalam badan individu. Terdapat beberapa jenis kematangan iaitu dari segi fizikal, kognitif serta sosial dan emosi. Kematangan fizikal selalu dikaitkan dengan kesediaan psikomotor seseorang dan setiap orang mempunyai tahap kematangan fizikal yang berbeza. Guru tidak boleh memaksa pelajar untuk membuat sesuatu aktiviti jika pelajar tidak bersedia untuk melakukannya. Sebaliknya, guru haruslah menyediakan aktiviti yang sesuai selaras dengan kematangan fizikal pelajar. Kematangan kognitif seseorang akan semakin berkembang dan meningkat sejajar dengan umurnya daripada mempelajari perkara yang mudah kepada perkara yang lebih kompleks. Kematangan kognitif juga mempengaruhi kesediaan belajar dan menjadi satu keperluan untuk belajar suatu subjek yang memerlukan kemahiran berfikir. Oleh itu, guru perlu mengetahui sukatan pelajaran yang hendak disampaikan selaras dengan perkembangan kognitif pelajar untuk menerima suatu ilmu yang baru. Kematangan sosial merujuk kepada kebolehan seseorang untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain manakala kematangan emosi adalah darjah pencapaian kestabilan dalam perasaan yang berkaitan dengan minat, keinginan dan kepuasan dalaman seseorang terhadap sesuatu.
Akhir sekali, seseorang perlu ada kemahiran asas atau pengalaman yang berkaitan sebelum mempelajari suatu ilmu atau kemahiran baru. Motivasi dalaman atau motivasi intrinsik berkait rapat dengan minat dan sikap pelajar. Intrinsik ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan merupakan motivasi dalaman yang kuat untuk menggerakkan serta meningkatkan kesediaan belajar supaya aktiviti pembelajaran berjalan dengan lebih aktif, mudah, seronok dan berkesan. Tambahan pula, perhatian dan penumpuan pelajar yang tinggi dapat meningkatkan kesediaan belajar pelajar melalui penggunaan set induksi yang menarik, alat bantuan mengajar yang canggih serta kaedah dan teknik mengajar yang berkaitan dengan minat pelajar. Hal ini akan mengekalkan perhatian pelajar dan bersedia untuk menerima ilmu pembelajaran yang baru.

Rujukan
Emma Subpei Shafie. (2014). Kesediaan Belajar (Maksud, Jenis2, Faktor2 Mempengaruhi, Implikasi terhadap PnP). [Slaid Pembentangan]. Diperoleh daripada URL : https://www.slideshare.net/ainunstaidemmasubpeishafie/kesediaan-belajar-maksud-jenis2-faktor2-mempengaruhi-implikasi-terhadap-pnp
Ermie Dharlya Che Daud, Aslina Saad. (2013). Sistem Maklumat Pengurusan dalam talian di sekolah dalam konteks Malaysia. Seminar Kebangsan ICT Dalam Pendidikan 2013. Abstrak diperoleh daripada URL : https://www.researchgate.net/publication/314283785_Sistem_Maklumat_Pengurusan_dalam_talian_di_sekolah_dalam_konteks_Malaysia
James, A. J. E. (2014). Pengurusan Bilik Darjah : Strategi-strategi mewujudkan komuniti pembelajaran berkesan. Selangor, Malaysia : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.







Comments

Popular posts from this blog

Topik 14: Pembelajaran Abad Ke-21

Topik 2 : Pengurusan Dan Pembelajaran Pelajar

Topik 8 : Pengurusan Tingkahlaku dan Disiplin